Wednesday, 27 November 2013

Tinggal kenangan.

Bismillahirahmanirrahim..

Sedih 15 November 2013 bersamaan 11 Muharram 1435h tak dapat aku ungkapkan dengan perkataan. Hanya hati yang diam ini, memendam seribu perasaan.  6.33 petang, hari Jumaat serta hujan lebat, adik aku Aina Natassya menghembuskan nafasnya yang terakhir di wad ICU HSI, JB .  Tak dapat aku gambarkan lagi suasananya.  Sepi sekali. Yasin di tangan, aku baca berulang-ulang kali.  Masih mengharap yang adik boleh bertahan.  Tapi tak terjadi.

Pagi Jumaat itu, aku & ayah melangkah ke wad icu dengan tenang sekali.  Mak, along, menyambut kami dengan resah gelisah.  Menangis melihat keadaan adik.  Aku mengucap, membisik pada telinga adik.  Tak mampu menatap adik, aku tunaikan solat duha dan hajat. Memohon supaya Allah memanjangkan usia adik. Memohon supaya diberi peluang untuk kami membesarkan adik.

Air mata mengalir, tak dapat ditahan lagi.  Angah memberi semangat kepada aku untuk terus kuat.  Melihat keadaan mak & along yang hampir pengsan, membuatkan aku simpati. Aku kuatkan semangat, memujuk emak untuk meredhakan pemergian adik.   Kami memandikan, mengkafankan adik di bilik mandian mayat HSI.  Dengan pertolongan saudara mara, segala hal dipermudahkan dengan izin Allah.

Di rumah, alunan al-quran dibacakan. Sahabat adik, jiran-jiran dan saudara melawat. Kali terakhir aku mencium adik, melihat alis matanya yang cantik seperti bercelak, bibirnya tersenyum.  Indahnya ciptaanMu ya Allah.  Masing-masing tenang, sedikit teresak-esak. Keluarga aku akur dengan ketentuanNya.

Selamat tidur sayang, berehatlah adik di sana. Kakak di dunia ini masih belum tentu bahagiannya.  Adik pasti jaminannya syurga sayang.  Adik tak akan rasa sakit lagi, adik masih suci dari dosa.  Adik tabah, kakak bangga dengan adik.  Selamat tidur sayang, semoga kita berjumpa lagi. Kakak doakan adik aman di alam sana. Semoga adik memberi syafaat pada mak & ayah ye sayang. Kakak akan rindu adik.  

Al-fatihah untuk Arwahyarhamah Aina Natassya binti Jamaluddin. (Jumaat/ 11 Muharram)